Pages

Thursday, May 07, 2015

'Kullu nafsin zaikatul maut'

Siapalah kita yang mampu menidakkan ketentuan Allah swt.? Siapalah kita yang hanya tahu merancang dan berusaha tetapi pengakhirannya tidak seperti yang kita harapkan. Apa yang benar-benar NJ takutkan telah pun terjadi, anak saudara NJ - Shamin yang kemalangan jalanraya telah pun kembali ke rahmatullah pada 5/5/15, setelah 20 hari bertarung nyawa di atas katil hospital. Apa yang mampu NJ fikirkan di saat menerima berita pemergiannya adalah 'Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya', setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap yang tinggal ada yang terkilan di hati tidak dapat berbuat itu ini kepada arwah, tetapi yang pergi tetap tidak akan kembali, kita hanya mampu jadikan iktibar dan pengajaran supaya akan datang tidak akan terbit perasaan yang sama di saat kita terpaksa melepaskan orang tersayang pergi. Saat talkin dibacakan, rasa gentar di hati apabila memikirkan saat-saat yang sama kita terpaksa tempuh suatu hari nanti. Adakah kita telah bersedia? Sudah pasti jawapannya tidak lagi.

Sungguh berat dugaan ini untuk ibu bapanya, keluarganya dan isterinya. Untuk ibunya iaitu kakakku, betapa anak yang dikandung selama 9 bulan dan ditatang dari kecil hingga dewasa, kini di depan mata dengan hanya berbalutkan kain kafan dan tatkala dicium pipi dan dahinya, hanya sejuk dan dingin yang terasa bukannya kehangatan, dan terhidu haruman kapur barus, bukannya haruman bayi yang dirindui semasa dia dilahirkan 25 tahun dulu. Untuk bapanya, betapa anak yang diberi kesempatan menerima pendidikan sejak kecil, diberi kebebasan untuk memilih kerjaya dan diharapkan berbahagia dunia dan akhirat setelah berumahtangga, kini ada di liang kubur berdepan saat-saat menempuh alam barzakh lebih awal darinya. Untuk adik-beradik yang ditinggalkan, betapa seorang abang atau adik yang bergurau-senda, bergaduh, bertepuk-tampar dari kecil hingga sebelum kemalangan, kini berseorangan di alam lain dengan tiada siapa-siapa sebagai peneman tatkala disoal malaikat munkar nakir. Untuk isterinya yang baru saja dinikahi sejak 2 bulan yang lepas setelah berkenalan selama 7 tahun, betapa tidak dari hubungan seorang teman bertukar kekasih seterusnya suami, kini terpaksa menerima hakikat bahawa dia akan keseorangan setelah melalui saat-saat manis bersama sepanjang bergelar suami-isteri.

Sepanjang 20 hari arwah di hospital, si isteri tidak lepas meluahkan rasa hatinya di FB setiap hari. Luahan hatinya sangat menyentuh hati sesiapa saja yang membacanya. Tak tergambar rasa pedih, pilu, cinta, sayang dan rindunya terhadap arwah setiap hari di hospital, apatah lagi kini setelah dia tiada. Memang orang sekeliling hanya mampu mengucapkan kata-kata semangat dan menyuruhnya bersabar tetapi hakikatnya hanya dia saja yang tahu perasaannya yang sebenar. Di bawah ini adalah catatannya (edited) pada hari kematian arwah.

Duhai suami syurga Nadia cinta hati Nadia dunia akhirat... tenanglah sayang di sana.. tidurlah selena yang mungkin... usah risaukan isterimu yang payah untuk menerima hakikat namun harus redha dengan pemergianmu. Ramainya keluarga, sahabat dan kenalan yang mengucapkan takziah, suruh Nadia bersabar, hakikatnya hanya Nadia yang tahu apa yang Nadia rasa. Bagaimana payah Nadia nak terima semua yang terjadi ini dalam sekelip mata, siapa sangka Sayang akan pergi secepat ini. Hanya 2 bulan kita sempat menikmati alam perkahwinan. Terima kasih sayang. Kamu seorang suami yang baik dan penyayang, yang sangat mengambil berat tentang isterinya. Tapi bagaimana selepas ini Sayang? Bagaimana Nadia nak teruskan hidup tanpa Sayang? 7 tahun mengenalimu bukan tempoh yang singkat, dan bukan sekelip mata Nadia boleh lupakan Sayang. Maafkan Nadia Sayang sekiranya selama menjadi isteri Sayang, Nadia ada terbuat salah dan silap. Nadia manusia biasa yang tak pernah lari dari membuat kesilapan. Ampunkan Nadia dari hujung rambut sampai hujung kaki. Terkubur segala cita-cita kita sayang. Esok kita akan jumpa buat yang terakhir kali Sayang. Semoga Allah memberi saya kekuatan seperti selalu walaupun hari ini saya terkulai layu...
05/05/2015 kau tinggalkan isterimu buat selama lamanya….
I LOVE U dunia akhirat

***

Hanya air mata dan doa yang mengiringi pengakhirannya di dunia ini. Semoga diampunkan dosa-dosanya, semoga dia ditempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman di alam akhirat yang kekal abadi. Doakan kesejahteraannya di alam sana, untuk anak saudaraku,

MUHAMMAD SHAMIN BIN SUPIAN


AL FATIHAH

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails